KOMEN MENGENAI TULISAN TMJ BERTAJUK PAS
JANGAN JADI UMNO
Pelbagai pihak sudah memberikan komentar masing-masing mengenai tulisan agak kontroversi
sebagaimana yang telah disiarkan dalam laman ini pada 14 Jun. Saya amati dalam FGR muncul
komen-komen, yang menyokong dan cubaan mendedahkan 'tembelang' TMJ.
Bagi saya TMJ seorang penulis yang baik. Beliau tidak taksub kepada pemimpin secara
membabi buta. Malahan beliau merelakan dirinya dikritik sebagaimana emailnya kepada saya
dengan menyamakan risiko yang diambil oleh orang tertentu yang menimbulkan isu 3 Abdul
dalam pentadbiran kerajaan Kelantan semasa muktamar PAS minggu lalu. Saya ketahui beliau
pasrah menerima hakikat kritikan ini.
Sebagai manusia biasa, kita juga tidak boleh lari dari pelbagai kritikan. Hanya ini satu
cara proses kedewasaan berlaku. Tiada jalan pintas yang mudah bagi semua orang. Minda
Rakyat berharap isu siapa TMJ ini perlu dihentikan setakat ini. MR juga berharap semoga
TMJ tidak jemu atau bosan untuk terus menulis di alam siber yang tidak menjanjikan apa-apa
pulangan lahiriah melainkan pengorbanan untuk anak bangsa dan tanah air tercinta.
MR kutip komen Tok Misai untuk kita amati sebagai penutup isu TMJ ini. Wallahua'lam.
Minda Rakyat
KOMEN RINGKAS TOK MISAI
Syabas kepada saudara Tarmizi Mohd. Jam di atas sikap keberanian dan ikhlas yang diluahkan
olehnya dalam artikel bertajuk PAS "JANGAN JADI SERUPA UMNO".
Saya
berpandangan bahawa ahli-ahli Pas janganlah terperangkap dengan tipu daya iblis yang
sentiasa berusaha mahu menyesatkan manusia sekelian dari jalan Allah yang lurus itu.
Manusia bukan maksum. Ahli-ahli Pas termasuk ketua-ketuanya sekali tidak boleh terlepas
dari membuat apa-apa kesilapan. Oleh itu, berlapang dadalah kamu semua wahai ahli-ahli Pas
apabila ditegur jika kamu benar-benar ikhlas terhadap perjuangan kamu.
Ada
kesalahan-kesalahan yang patut ditegur secara senyap dan diam-diam untuk menjaga air muka
orang atau kumpulan yang ditegur itu. Dan ada pula teguran-teguran yang patut dilakukan
secara terbuka agar ia dapat juga diambil iktibar oleh orang lain. Bagi saya, teguran
terhadap tindak tanduk ahli-ahli Pas dan ketua-ketuanya seharusnya dimasukkan dalam
teguran kategori kedua kerana mereka telah berjanji kepada rakyat untuk mengamalkan
ketelusan. Ini janji mereka sendiri dan ia merupakan satu sikap yang sepatutnya mendapat
penghormatan yang tinggi. Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dulu pun mengamalkan
sikap yang begini juga. Orang yang ikhlas tidak akan bimbang untuk bersikap telus.
Ketelusan
bermaksud setiap langkah yang dilakukan oleh seorang pemimpin boleh adili oleh rakyat
dengan cara terbuka. Kalau salah, mengaku salah dan perbetulkan diri. Tapi kalau betul,
maka keluarkan kenyataan untuk mempertahankan diri. Dengan cara ini, rasa hormat dan kasih
yang tulin dari rakyat kepada pemimpin pasti akan berlaku.
Saya tidak berniat untuk
mengulas panjang kali ini. Insya-Allah akan saya susul kemudian dengan satu artikel yang
lebih panjang untuk menyatakan pendirian dan pandangan saya dalam isu
"tegur-menegur" dan amalan ketelusan ini kerana saya bimbang jika sikap ini
tidak diamalkan dan dihayati dengan baik, maka bibit-bibit barah takbur, sombong, dan
angkuh akan mula mengambil tempat dalam dada pemimpin-pemimpin Pas yang rakyat meletakkan
harapan dan kepercayaan yang tinggi ke atas mereka. Jika barah ini dibiarkan membesar dan
tidak dibendung dari awal, saya percaya segala harapan rakyat yang sangat-sangat
menginginkan keadilan untuk dilaksanakan dan dipraktikkan dalam erti katanya yang sebenar
tidak akan tercapai. Penyudahnya, Islam juga yang akan masih mendapat nama dan imej buruk.
Sebagai
mengakhiri catatan saya yang ringkas ini, saya ingin berpesan kepada ahli-ahli Pas supaya
anda semua melakukan muhasabah terhadap diri anda dengan ikhlas. Jangan tertipu dengan
khayalan dunia. Demi perjuangan untuk menegakkan kalimah suci Allah dan memakmurkan negara
sekaligus, sedarlah bahawa masih terdapat terlalu banyak lagi perkara yang harus
diperbetulkan dalam diri kita masing-masing selaku manusia yang tidak sempurna. Jika kita
ikhlas, kita harus tahu bagaimana untuk membentuk sikap dan peribadi diri kita andainya
kita mahu memainkan peranan untuk menjadi "pembantu-pembantu" Allah.
Adalah
lebih afdhal bagi kita semua untuk menghayati sikap zuhud dan tawadhuk. Tidak ada ruginya
bersikap begini, kecuali kalau terdapat agenda lain dalam hati kita! Tepuk dada tanyalah
selera masing-masing. Jangan kita terlupa bahawa Allah mengetahui apa yang ada di dalam
dada kita.
Salam perjuangan, -Tok Misai-
|